Wawancara T. Alias Taib

diwawancarai Wan Nizar Wan Taib dan Sirai Daha

Penumpuan khusus kepada puisi membolehkan T. Alias Taib muncul sebagai penyair yang prolifik dan mapan. Beliau bermula dengan puisi berjudul “Persembahan” yang muncul dalam majalah Angkatan Baru pada Oktober 1964. Sejak itu T. Alias Taib telah berjaya menghasilkan 5 buah kumpulan puisi iaitu Laut Tak Biru di Seberang Takir, Pemburu Kota, Opera, Seberkas Kunci, dan Piramid.

Dibesarkan di Kuala Terengganu, T. Alias Taib mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Gong Kapas. Kemudian beliau melanjutkan pendidikan menengah beliau di Sekolah Menengah Sultan Sulaiman (Inggeris), Kuala Terengganu. Kini beliau berkhidmat di Sekolah Kebangsaan Wangsa Jaya, Setapak, Kuala Lumpur.

Walaupun pada peringkat awal, beliau terpengaruh oleh karya-karya Rendra dan Latiff Mohidin, tetapi akhirnya T. Alias Taib menemui identiti beliau sendiri. Semua ini diperoleh melalui eksperimen beliau yang tidak jemu-jemu. Kewibawaan beliau dalam menghasilkan karya-karya puisi jelas terbukti apabila beliau berjaya memenangi Hadiah Sastera (puisi) sebanyak dua kali berturut-turut (1975 dan 1976).

Sebelum itu pada tahun 1974 beliau telah memenangi hadiah sagu hati Sayembara Puisi Kuala Lumpur, anjuran GAPENA. Pada tahun 1992, melalui kumpulan puisi beliau Piramid, beliau terpilih untuk memenangi Hadiah Sastera 1990/91 bagi bidang puisi.

Penggunaan bahasa yang mudah dan biasa, tatabahasa yang terkawal, dihiasi pula dengan metafora yang kuat, memungkinkan kita dengan mudah mengenali puisi-puisi beliau. Umar Junus dalam artikel beliau “Berhadapan dengan Seberkas Kunci dari T. Alias Taib” (1985) yang termuat dalam Dewan Sastera keluaran Mei 1986, menulis bahawa puisi-puisi T. Alias Taib:

… memang menggunakan bahasa yang biasanya diistilahkan sebagai bahasa yang indah, dengan mengucapkan hal-hal yang tidak aneh bagi kita, hanya kini diucapkan dengan cara yang berlainan. Dengan kata lain dapat barangkali dikatakan bahawa sesuatu yang biasa menjadi sesuatu yang segar bagi kita kerana cara pengucapannya….

Muhammad Haji Salleh telah juga memberi pendapat beliau dalam pengantar kepada kumpulan puisi Piramid (1990) T. Alias Taib, bahawa:

… antara beberapa orang penyair Malaysia semasa, T. Alias Taib telah mencipta peribadi puisi yang khusus dan cukup istimewa. Pembaharuan dalam bentuk dan pengucapan, sudut pandangan dan juga kepekaan kata memberinya suatu daya tarik yang tidak sering kita temui hari ini.

Dari segi pembawaan tema, T. Alias Taib memberi penumpuan kepada hal-hal berkaitan kemanusiaan, alam, penderitaan, dan falsafah. Semua ini dicungkil daripada pemerhatian beliau terhadap kehidupan seharian, sebagaimana kata beliau:

… Melalui kehidupan seharian, kita mampu menceritakan seribu kisah dan peristiwa yang menarik di sekitar kehidupan kita. Ini bagaimanapun perlu ada usaha mengumpul dengan penuh teliti kerana bukan semua peristiwa yang kita lihat sesuai untuk kita menulis.

Melalui karya-karya beliau, T. Alias Taib telah cuba menyedarkan manusia tentang kesalahan yang ditempuhi oleh masyarakat, sekali gus membawa pembaca memahami kehidupan, tentu sahaja dengan menyodorkan kepada mereka pandangan beliau tentang kehidupan itu. Kerana itu, Alias cuba membawa pembaca beliau kepada dunia yang beliau kenali dengan membangkitkan hal-hal tertentu.

Dalam catatan pengalaman beliau: “Menulis Puisi, Pengalaman Manis di Daerah Pahit” (lihat Dewan Sastera, Mei 1986) T. Alias Taib menyatakan:

… Penderitaan keluarga, kecintaan kepada buku, ketenteraman alam kampung dan pendedahan awal kepada puisi berkacau-bilau dalam diri saya … menjadikan saya sangat akrab dengan buku.

Ternyata Alias banyak belajar berkarya daripada kesedaran beliau terhadap apa yang berlaku di sekitar beliau. Beliau mulai berkenalan dengan A. Samad Said, Pramoedya Ananta Toer, Moechtar Lubis, Keris Mas, Chairil Anwar, Arena Wati dan banyak lagi melalui pembacaan yang meluas. Nama-nama ini memberikan keazaman kepada beliau menyampaikan apa yang terbaca oleh perasaan beliau terhadap persekitaran beliau kepada masyarakat.

Sebelum terkenal sebagai penyair yang dikenali ramai, T. Alias Taib terpaksa menunggu selama empat tahun untuk menembusi media cetak. Namun penantian tersebut bagi beliau tidaklah sia-sia kerana beliau banyak memperoleh pelajaran tentang kaedah dan fatwa menulis puisi yang baik. Beliau dalam tulisan yang sama menyebut:

Dalam ‘dunia aku’ yang dipenuhi ‘bunga dan duri’ serta ‘ombak dan angin’, saya belajar mengembangkan sayap kepenyairan saya dengan menggunakan deria sebaik-baiknya. Saya belajar melihat dengan ‘mata penyair’, menghidu dengan ‘hidung penyair’, merasa dengan ‘lidah penyair’ dan menyentuh dengan ‘tangan penyair’. Saya mulai peka dengan isi alam. Saya mulai mempertajamkan sensitiviti saya.

Daripada petikan di atas dapat disimpulkan bahawa seseorang penyair mempunyai ketajaman deria yang berlainan dengan orang biasa. Untuk menjadi penyair bermakna seseorang itu perlu memiliki deria penyair. Umar Junus selanjutnya menyatakan:

… Sebenarnya, sebagai hal yang kedua, menurut Alias, ada dunia dualisme. Dunia yang dibawa oleh sajak-sajaknya mewakili dunia penyair, adalah dunia yang baik. Dunia dengan ketinggian moral dan perasaan kemanusiaan. Dunia di luarnya adalah dunia yang serba jahat kerana dikuasai oleh hantu politik dan wang.

Oleh itu tidak hairanlah kalau T. Alias Taib menganggap bahawa puisi ialah genre sastera yang paling tinggi martabatnya.

Untuk mengetahui pemikiran beliau secara lebih mendalam, kami (Wan Nizar Wan Taib dan Sirai Daha) sempat menemu bual beliau di kediaman beliau pada 12 Oktober 1991:

WAN NIZAR WAN TAIB

Sebagai permulaan, boleh saudara ceritakan bila dan bagaimana minat terhadap sastera, terutamanya puisi, mula muncul dalam diri saudara?

T. ALIAS TAIB

Sewaktu saya di sekolah menengah pada tahun 1955-57, saya mempelajari sastera Inggeris. Dari situlah saya mula cenderung kepada sastera. Saya bermula dengan sastera Inggeris kerana waktu itu bahasa pengantar ialah bahasa Inggeris. Saya masih ingat guru sastera saya pada waktu itu meminta kami menghafal puisi Inggeris dan memberi analisis di hadapan bilik darjah, Jadi apabila tiba giliran saya, kalau tidak silap, saya memilih puisi “The Dove” ataupun “Merpati” ciptaan Walter de la Mare, seorang penyair klasik dari England. Saya baca dan saya beri huraian kepada kawan-kawan sedarjah, dan ternyata guru sastera Inggeris itu berpuas hati dengan penerangan yang saya beri. Jadi, dari situ saya yakin dan rasa semacam keseronokan membicarakan tentang puisi. Sejak tahun 1958, saya mula banyak membaca buku-buku yang mengandungi puisi-puisi Inggeris dan puisi Melayu. Itulah kalau boleh saya katakan tangga pertama saya yang menghantarkan saya ke dunia puisi.

SIRAI DAHA

Kenapa saudara meminatinya?

T. ALIAS

Saya barangkali seperti juga penyair-penyair lain, meminati puisi kerana saya kira, bentuk sastera yang paling halus, dengan bahasa yang murni dan berirama ialah puisi. Sebagai orang Melayu kita ada tradisi, seperti mendengar cerita atau dongeng daripada nenek kita. Dulu sastera lisan disampaikan dengan bercerita. Sebagai contoh, semasa kecil saya mendengar cerita Seribu Satu Malam. Jadi saya dibesarkan dalam suasana bercerita. Sebelum tidur, misalnya, nenek akan bercerita satu atau dua buah cerita. Inilah yang membuat saya terpesona dengan baris-baris dalam puisi kerana ia halus, berirama, dan murni.

WAN NIZAR

Berdasarkan karya-karya saudara yang telah terbit, minat utama saudara ialah puisi. Mengapa? Selain daripada puisi, saudara juga turut melibatkan diri dalam genre-genre sastera yang lain. Bolehkah saudara terangkan serba sediki tentangnya?

T. ALIAS

Selain menulis puisi, saya juga menulis dan membaca cerpen, esei, dan juga terjemahan. Namun demikian saya lebih menumpukan perhatian kepada puisi. Sesetengah orang lebih jelas dalam cerpen atau novel, tetapi saya tidak. Shahnon Ahmad lebih senang mengalirkan perasaannya dalam novel. Tetapi saya memilih puisi kerana saya fikir apabila seseorang itu dapat menguasai genre puisi ini, genre-genre lain tidak menimbulkan masalah. Yang kedua pula saya ada terbaca bahawa antara genre-genre ini, genre puisilah yang paling tinggi martabatnya. Tidaklah bermakna genre-genre lain itu tidak baik. Kesemuanya baik tetapi dalam puisi ataupun dalam penulisan puisi kedudukannya agak tinggi dibandingkan dengan cabang sastera yang lain.

SIRAI

Apakah tema yang sering saudara utarakan melalui karya-karya yang saudara hasilkan?

T. ALIAS

Saya menyentuh hampir semua aspek kehidupan. Pada mulanya, semasa saya mula-mula menulis iaitu ketika berumur 20 tahun, saya banyak menulis tentang alam. Tetapi sedikit demi sedikit saya menyentuh pula hal yang lebih rumit, masalah dalaman manusia, masalah sosial di sekitar kehidupan saya dan juga masalah-masalah manusia lain. Semua ini saya dapat melalui perbualan dengan teman-teman ataupun, kadang-kadang saya pungut dan kumpul daripada bahan-bahan bacaan seperti beberapa buah buku Inggeris karya Idries Shah, Caravan of Dreams, iaitu kisah-kisah yang mengandungi nilai kebijaksanaan. Saya juga cuba menulis cerpen, dan ini saya lakukan pada peringkat awal saya menulis. Kalau tidak silap saya, saya ada tiga puluh buah cerpen yang sudah terbit. Saya juga menulis esei. Ini saya lakukan apabila sudah agak bosan atau jemu membuat puisi. Maka saya berpindah pula ke satu bidang lain, kemudian saya akan balik semula kepada puisi. Tidak macam sesetengah penulis lain yang menulis beberapa bidang dalam sastera secara serentak. Ertinya dia menulis puisi, cerpen, novel, dan esei pada masa yang sama, tetapi saya tidak. Hanya apabila saya jemu barulah berpindah kepada esei, cerpen untuk sementara waktu. Cerpen sudah lama saya tinggalkan. Saya rasa ingin juga hendak mengarang cerpen semula.

WAN NIZAR

Apabila kita menyebut tentang sajak, kita akan sentiasa teringat kepada puisi Melayu lama. Jadi pendapat saudara, adakah puisi Melayu Lama itu penting untuk dihidupkan pada hari ini dan adakah ia mempunyai pengaruh pada karya-karya puisi saudara?

T. ALIAS

Ya! Ini suatu aspek yang agak menarik. Saya suka soalan ini. Memang saya berpendapat bahawa untuk seseorang mendalami bidang puisi dia harus mempunyai latar belakang yang baik tentang puisi Melayu Lama sebab puisi Melayu Baru bertolak daripada puisi Melayu lama seperti pantun, syair, gurindam, seloka dan sebagainya. Ini semua bahasa berirama. Puisi baru pun bahasa berirama juga walaupun kita dapati ada sesetengah sajak bebas yang tidak mementingkan irama. Tetapi walau macam mana bebas pun puisi itu, ia harus bertolak daripada bahasa berirama. Puisi mementingkan irama. Yang tidak berirama itu prosa. Memanglah, macam saudara katakan tadi, memang ada pengaruh puisi Melayu Lama dalam penulisan puisi Melayu moden ini. Misalannya yang jelas ialah bunyi akhir pada suku kata, itulah yang dikatakan pengaruh. Tetapi dari sudut pemikiran mungkin tidak sama dengan puisi lama. Pemikiran dalam puisi baru lebih kompleks dan lebih rumit. Dalam puisi moden, kita dapati banyak persoalan tentang masyarakat semasa. Memang ada puisi yang menceritakan tentang alam. Puisi lama pun kebanyakannya tentang alam. Kita memuja keindahan alam. Saya sendiri belajar menilai dengan menghayati puisi-puisi Melayu Lama yang baik. Dari sinilah saya belajar bagaimana penggubah itu mengekalkan bunyi yang baik, pembayang yang baik, maksud yang baik, dan sebagainya.

SIRAI

Tadi saudara ada menyebut puisi bebas. Apakah pandangan saudara tentang puisi bebas?

T. ALIAS

Pada fikiran saya, tidak ada seni yang bebas mengikut makna yang sebenarnya. Ia mesti terikat dengan sesuatu kaedah. Kita tidak boleh lepaskan puisi kita sehingga tidak ada peraturan yang perlu kita ikut. Bebas di sini pada tanggapan saya, bebas tidak mementingkan sangat suku kata yang akhir atau panjang pendek sesuatu baris. Itulah maksud bebas agaknya. Tetapi walaupun begitu, bentuk puisi itu harus ada. Kalau kita tidak pelihara  bentuknya ia akan menjadi prosa. Bentuk itu, harus ada rangkapnya. Walaupun, misalnya suku kata akhir itu tidak sama bunyinya tetapi mungkin di tengah-tengahnya ada kata-kata yang sama bunyi. Jadi tidak juga bebas kalau kita tengok dari situ. Saya kurang bersetuju dengan kebebasan puisi ini. Saya lebih suka, jika ada semacam kawalan, katakanlah diwujudkan semacam satu lingkungan, bulatan dan kita duduk di tengah-tengah bulatan itu, kemudian kita boleh bebas di dalam bulatan tadi, tetapi tidak boleh keluar daripada kawasan tadi. Kalau kita keluar, kita melanggar tertib menulis puisi, misalnya.

WAN NIZAR

Aspek bahasa dalam sesebuah puisi itu penting. Ada puisi-puisi yang menggunakan bahasa yang disingkatkan ataupun dipotong di sana sini, tanpa menggunakan bentuk tatabahasa yang betul. Bagaimana pandangan saudara tentang hal ini?

T. ALIAS

Bagi saya, seboleh-bolehnya saya cuba tunduk kepada tatabahasa. Namun dalam beberapa hal, saya terpaksa langgar tatabahasa, tetapi dalam keadaan sedar. Ada sesetengah penyair tidak faham tentang tatabahasa, terutamanya penyair muda. Mereka langgar dan tidak sedar tentang pelanggaran itu. Tetapi kalau saya langgar, saya buat itu dengan satu kesedaran, kerana saya sendiri mempelajari tatabahasa. Bagi saya, seboleh-bolehnya bahasa puisi haruslah bersih. Jadi kalau terdapat puisi yang bahasanya tidak betul, ketidakbetulan bahasa itu mestilah bersebab. Jika kita minta penyair menceritakan balik diksi yang dipilihnya, tanya kenapa dia langgar tatabahasa, penyair berkenaan boleh menjelaskan, maka pelanggarannya itu boleh diterima. Tetapi kalau penyair itu secara tidak sedar telah melanggar tatabahasa dan tidak pula dapat menjelaskan, saya tidak bersetuju.

SIRAI

Apabila kita menyebut tentang aspek sintaksis dalam tatabahasa, ada yang menggunakan bentuk inversi, iaitu penggunaan bahasa secara terbalik. Apa pandangan saudara tentang hal ini?

T. ALIAS

Dalam puisi, inversi ialah ‘gaya’. Gaya berhubung dengan bentuk. Bentuk puisi termasuklah metafora, personifikasi dan sebagainya. Jadi bahasa yang terbalik tadi ialah salah satu unsur-unsur bentuk puisi. Saya berpendapat hal-hal yang semacam ini boleh dimasukkan dalam puisi. Yang penting bagi saya, kita mempunyai alasan kenapa kita berbuat begitu. Sekiranya seorang penyajak itu boleh menjelaskannya, bolehlah dia membuatnya. Tetapi kebanyakan penyajak muda, melakukannya ikut perasaan. Kebanyakan mereka tidak berapa boleh bercerita tentang ini. Mereka cuma berasa sesuai, sedap, suka atau sebati dengan dirinya, dia pun menggunakan perkataan itu.

WAN NIZAR

Dalam menghasilkan puisi, semestinya ada ilham yang timbul. Bagaimanakah pula saudara?

T. ALIAS

Ilham ini semacam cetusan awal. Saya menulis biasanya daripada pemerhatian. Hal ini biasa dilalui oleh penyair lain. Melalui pengalaman, saya menulis tentang banjir. Melalui pembacaan, misalnya, pada puisi “Godot” dalam kumpulan terbaru saya iaitu Piramid. Godot ialah watak ciptaan Samuel Beckett dalam novel yang berjudul Waiting for Godot. Saya tertarik dengan watak Godot yang tertunggu-tunggu sesuatu yang tidak tiba. Kadang-kadang melalui perbualan dengan sahabat-sahabat saya, tercetus juga ilham untuk saya menulis puisi, “Catatan Tentang Sahabat” misalnya. Juga melalui filem, gambar dan cerita-cerita yang menarik. Dari sinilah kalau ada sesuatu yang menarik, saya akan gubah menjadi puisi. Jadi itulah antara cara saya mendapat sumber dan bahan untuk saya menulis puisi.

SIRAI

Terdapat penulis yang terus mencipta karya apabila mendapat ilham dan ada yang mencatatnya dahulu dalam bentuk nota. Bagaimana pula dengan saudara.

T. ALIAS

Saya akan menimbang dahulu sebelum menulis. Banyak sebab mengapa saya berbuat demikian. Pertama, saya akan mengkaji dahulu, ada perkara yang ingin saya tulis atau tidak. Saya juga kena memikirkan sama ada ia akan menjadi sebuah puisi yang baik. Yang ketiga pula, saya akan menyoal diri saya, adakah ini akan memberi pengalaman baru kepada pembaca, ini yang penting. Jika pada pertimbangan saya ia tidak akan memberi pengalaman baru kepada pembaca, saya tidak akan tulis. Setiap kali saya menulis puisi, saya berharap puisi itu akan menjadi pengalaman menarik, satu pengalaman baru dan ada kejutan kepada pembaca.

Setelah saya menimbang dan fikir masak-masak, barulah saya tulis. Saya juga menggunakan buku catatan. Pertama, saya memastikan bahawa ia sesuai untuk ditulis, setelah itu barulah saya memilih diksinya ataupun kata-kata yang sesuai untuk puisi itu. Apabila saya ada tiga atau empat diksi bolehlah saya bertolak. Saya selalu menitikberatkan ayat atau baris pertama. Biasanya ayat pertama itulah yang mengundang pembaca untuk membaca puisi saya. Kalau ayatnya hambar dan saya tidak dapat menggantikannya dengan ayat yang menarik, saya lupakan saja. Walaupun isinya menarik saya tidak boleh memulakannya.

WAN NIZAR

Tadi saudara katakan yang saudara mementingkan khalayak, para pembaca, atau peminat puisi. Apa pula pendapat saudara bagi mereka yang menghasilkan puisi-puisi kabur?

T. ALIAS

Khalayak penting. Sebagai seniman, sama ada penggubah lagu, pelukis, penulis atau apa saja bidang yang dipilih, kita berkeinginan untuk berhubung dengan khalayak. Kalau kita berkarya dan karya itu tidak boleh berhubung dengan orang lain, saya fikir karya ini tidak akan sampai ke mana-mana. Apa gunanya berbuat sesuatu tetapi tidak boleh berkongsi dengan orang lain. Yang penting bagi saya dalam menghasilkan sesebuah karya, ialah memindahkan pengalaman kita kepada satu pihak lain, iaitu khalayak kita. Kalau kita siapkan satu karya untuk memuaskan hati kita saja, saya fikir tidak ada guna.

SIRAI

Secara tidak langsung saudara menyokong pendapat “Seni untuk Masyarakat”?

T. ALIAS

Ya, untuk masyarakat, ertinya kita cipta seni untuk dinikmati masyarakat kita. Ingin saya jelaskan sedikit tentang karya yang bersifat peribadi. Ada pendapat mengatakan bahawa, karya sedemikian terlalu personal atau terlalu peribadi sifatnya. Sebenarnya saya pun ada juga puisi yang bersifat personal, tetapi saya yakin kalau kita bercerita dari sudut yang menarik sehingga orang lain terasa sebagai pengalamannya sendiri, karya tidak akan bersifat peribadi. Pembaca boleh berkongsi pengalaman dengan kita. Oleh itu, kalau yang dimaksudkan ‘peribadi’ itu tentang satu pengalaman peribadi saya, tetapi jika penting untuk dikongsi dengan orang lain atau diketahui oleh orang lain, mengapa tidak dijadikan sumber penciptaan. Yang dikatakan ‘peribadi’, barangkali cara penulis bercerita tidak begitu jelas, pilihan kata-kata pun agak samar-samar sehingga sukar difahami – itulah puisi kabur tadi.

WAN NIZAR

Di negara kita sudah muncul beberapa orang penyair yang berkaliber dan prolifik. Antara penyair yang boleh dikategorikan sebagai penyair yang baik, siapakah yang saudara kagumi? Bagaimana dengan pengaruh mereka terhadap diri saudara?

T. ALIAS

Saya sebenarnya senang dengan semua orang. Apabila dia menyair dengan baik dan serius, saya senang. Tetapi yang saya kagum tidak ramai. Saya senang dengan penyair yang baru-baru ini diumumkan sebagai Sasterawan Negara iaitu Prof. Muhammad Haji Salleh, Kassim Ahmad, juga Baha Zain. Mungkin Latiff Mohidin juga. Seperti saya katakan tadi, saya baca semua. Saya membaca karya empat orang penyair tadi untuk menganalisis secara mendalam seperti menilai dari segi penggunaan bahasa, persoalan yang ditimbulkan, kecenderungan mereka, dan sebagainya.

SIRAI

Ada pendapat yang mengatakan bahawa saudara mempunyai persamaan dengan Latiff Mohidin. Bagaimana reaksi saudara?

T. ALIAS

Mungkin ada persamaan. Terutamanya pada peringkat permulaan saya menulis. Ini saya percaya tidak dapat dielakkan. Namun setelah saya menulis dengan lebih lama, saya mula mempunyai imej sendiri. Bagaimanapun, sekiranya dikatakan saya dipengaruhi Latiff Mohidin, saya akui. Apabila kita mengkaji atau membaca karya-karya yang baik, secara tidak disedari, gaya atau cara orang itu menyampaikan ideanya mengalir ke dalam diri kita. Hal ini pada saya tidak mengapa, asal jangan kita meniru bulat-bulat karya orang lain dengan hanya menukar beberapa patah perkataan dalam karya orang lain. Saya juga mempelajari teknik-teknik menulis puisi daripada penyair-penyair luar negara, kebanyakannya dari Amerika Latin.

WAN NIZAR

Ramai penyair kita yang berjaya menghadapi proses penghijrahan dari desa ke bandar dalam usaha memperkembang kegiatan kepenyairan mereka. Bagaimana pendapat saudara? Adakah penghijrahan tersebut bermanfaat kepada penyair?

T. ALIAS

Secara peribadi saya mengakui bahawa ia memang mendatangkan kebaikan. Di bandar, banyak persoalan yang boleh diutarakan melalui puisi. Persoalan-persoalan bukan sahaja lebih banyak, malahan lebih kompleks sifatnya.

Selain itu di bandar, khalayaknya lebih besar. Para penyair mempunyai saluran yang lebih luas untuk mengetengahkan karyanya. Ini memberikan perangsang kepada seorang penyair untuk terus berkarya dan meninggikan lagi mutu kepenyairannya.

SIRAI

Bagaimana tanggapan saudara tentang dorongan? Adakah saudara merasakan tanggungjawab terhadap khalayak sebagai suatu daya pendorong?

T. ALIAS

Ya, tetapi saya tidak anggap ia sangat penting. Apa yang penting kesungguhan dan kejujuran dalam berkarya.

SIRAI

Bagaimana dengan keluarga saudara?

T. ALIAS

Saya tidak mendapat sebarang dorongan daripada keluarga. Sungguhpun begitu, mereka amat memahami diri saya. Saya mempunyai bilik bacaan sendiri. Saya akan berada dalam bilik tersebut tanpa diganggu oleh sesiapa. Mereka tidak akan mengganggu saya, terutamanya jika saya memberitahu bahawa saya perlu bersendirian. Saya memang tidak boleh membuat kerja dalam suasana yang bising.

WAN NIZAR

Saudara memulakan penglibatan dalam dunia sastera sejak di bangku sekolah lagi sehingga kini, adakah saudara berasa bahawa perkahwinan saudara membawa apa-apa perubahan bagi dunia berkarya saudara?

T. ALIAS

 Tidak. Isteri saya tidak campur tangan dalam kerja saya.

SIRAI

Apakah pesan dan harapan saudara kepada penulis muda kita?

T. ALIAS

Saya gembira melihat bertambahnya bilangan penulis yang menggemari puisi. Saya kira penulis sekarang ini beruntung kerana mempunyai peluang yang luas untuk berkarya; dengan adanya banyak saluran seperti akhbar, majalah dan sebagainya. Malangnya penulis muda kita terlalu cuai dalam berkarya dan tidak begitu faham atau sengaja tidak mahu memahami aspek-aspek bahasa. Kadang-kadang mereka terlalu menurut dan mengikut kehendak pihak-pihak tertentu. Penyair muda boleh meniru cara orang lain tetapi janganlah bulat-bulat. Saya kira lebih baik kalau mereka menganalisis karya-karya terkenal sebagai bahan untuk belajar, seperti daripada ciri-ciri puisi mereka yang baik.

Media Sosial

Follow Bilik Penyair on WordPress.com
Bacaan lain
Dunia Ini Pentas Sandiwara