1.
Kalau tiba di hadapan rumah ini, masuklah ke dalamnya. Atau mungkin saja engkau mahu mengintai lewat lubang kunci terlebih dahulu? Namun jangan risau, pintu utama sedia terbuka manakala kamar-kamar di dalamnya sepi dengan pintu terkunci. Atau jika engkau ingin mengetuk, sebelum itu, lihat nama pada papan tanda di dada pintu, barangkali saat penyairnya pulang nanti engkau dapat menyapanya dengan mesra seakan telah kenal lama. Engkau pun membuang sepatu, atau tidak, dan masuk ke dalam rumah. Helo, salam, apakah ada sesiapa di dalam?
Engkau meneruskan langkah dan terpaku di hadapan berpuluh pintu. Kau boleh saja ke pintu yang pertama dari kiri atau dari kanan. Atau ke pintu yang terakhir dari kiri atau dari kanan. Atau kau boleh saja ke mana-mana pintu. Baiklah. Kau ke hadapan pintu pertama dari kanan. Tiba di hadapannya, kau memulas tombol tetapi tidak berjaya. Cuma melalui lubang kunci(kemanakah hilang kuncinya?) kaudapat melihat apa yang ada atau berlaku di dalam kamar. Kau pun menyuakan sebelah matamu di hadapan lubang kunci itu seperti Aziz Satar mengintai kamar sebelah melalui lubang kecil di sebalik bingkai gambar atau seperti seorang fotografer melekapkan anak mata ke dalam lubang lihat sebuah kamera:
dongeng sebuah bukit
beratus-ratus zaman dahulu
–kata orang tua itu di mulut gua
beribu-ribu zaman dahulu
bukit ini adalah sebuah pulau
di dalamnya berkejaran binatang-binatang
bersisik pelangi lembut dan berkilat
kadangkali mereka berlumba ke tepi pantai
di bawah pohon pucuk paku yang tinggi itu
dan lembah ini adalah lautan dalam
biru jernih ditaburi kulit kerang dan lumut
di mana ikan-ikan duyung berenang ria
melanggar mengelak pohon agar-agar
kadangkali mereka berlumba ke paras air
dengan leher mereka yang jenjang itu
melihat sinar matari pagi dan…
Engkau ingin melihat dengan lebih jelas. Adakah sesiapa di sana? Ke mana pergi orang tua tadi? Setelah beberapa kali memulas tombol namun ya, tentu saja terkunci, engkau cuba lagi dengan lebih keras. Masih tidak berjaya, kau cuba mengumpil pintu dengan tangan kosong(sepatutnya engkau membawa sesuatu dari rumah tadi, mungkin pencungkil gigi, sebilah belati atau sebatang pembaris?). Kau membongkok kembali:
kami lima orang anak-anak kecil
hampir saja tertidur lena di sana di hutan
kalau orang tua itu tidak berhenti bercerita
dan pergi meninggalkan bau asin angin laut
dan lima keping kulit kerang di mulut gua
Engkau beralih ke pintu seterusnya dan melihat lewat lubang kunci:
Di halaman sebuah rumah suatu dinihari: gerimis berjatuhan dari langit. Jendela rumah terbuka dan hari hujan, matahari tidak ada. Cuma itu.
Dan itu saja? Kau bertanya. Tanpa sedar, pintu itu terbuka dan kau tersembam ke laman rumah, tanah yang basah. Dari langit hujan turun perlahan, menyusun butir-butir air di hujung rumput. Engkau berpaling ke jendela, mereka telah menutupnya. Matahari telah terusir jauh ke timur, dalam cuaca yang seolah-olah nipis kulit malam, kau tidak mahu apa-apa lagi, selain hujan.
2.
Sebelum menjawab persoalan apa yang kita cari darinya, kita harus menjawab pangkal persoalan, kenapa kita pergi kepada puisi? Kenapa pada satu saat, kita terfikir untuk memulas tombol itu dan masuk ke dalamnya?
Sudah tentu ketika tiba di hadapan puisi(atau mana-mana karya sastera pun), kita telah menanggalkan beberapa hal misalnya realiti. Misalkan saja saya ingin membaca akhbar, sudah pasti saya tidak menyamakannya seperti membaca cerpen, atau ketika membaca cerpen, sudah tentu saya dapat membenarkan sesuatu yang mustahil berlaku meluncur di layar imaginasi saya. Bagaimana mungkin seorang lelaki yang ditembak tujuh kali tepat di dahinya bangun dari lantai, ke depan cermin dan membasuh mukanya dengan air dingin? Ketika kita berada di hadapan puisi, dunia di luar cuma ada sebagai panduan.
Keterpersonaan seseorang terhadap keindahan adalah naluri primitif insan. Sudah tentu puisi sebagai salah satu bentuk seni memenuhi perkara itu. Kebanyakan orang melihatnya sebagai sebuah rumah lama di pinggir yang dihuni hantu, tapi di sanalah kehidupan tumbuh, menjalar dan mati. Hujan mengalir di selokan, sebuah bas biru, perahu kertas yang dilepaskan seorang kanak-kanak, senja dibentang dan digulung, penghuni sebuah kota mengelilingi kota dengan memikul sekeping batu di bahu, butir-butir air bagai guli kaca luruh dari pili di sinki, atau apa-apa saja. Semua ini muncul dari pengalaman penyair sebagai manusia untuk kita tanggapinya, juga dengan mata kemanusiaan. Tentu sekali puisi tidak wajar diletakkan di bawah kanta saintifik seperti katak dalam eksperimen makmal.
Jadi apabila saudara Iman Danial memberikan tajuk ini, saya membelek kembali puisi-puisi dalam kepala: Sapardi, Latiff, T. Alias Taib, kenapa saya begitu obses membaca mereka? Adakah kerana saya mempunyai kunci kepada kamar-kamar mereka? Saya pun ragu-ragu. Katakan saja, sebenarnya saya tidak mencari apa-apa. Barangkali saya cuma tersihir dengan permainan kata-kata penyair seperti mendengar dongengan dari puisi “dongeng sebuah bukit”, Latiff Mohidin (Serpihan Dari Pedalaman, 1979) tadi. Tugas penyair seperti kata T. Alias Taib, bukan sebagai penyelesai masalah tetapi sebagai “pembentang masalah” atau seperti kata Latiff Mohidin, “aku hanya ingin mengingatkan”, telah terlunas dengan sajak-sajak mereka, cukup dengan sekadar mengatakan. Pada para pembacalah tugas mencari persoalan dan jawapannya, dari inti kehidupan sendiri.
Saya suka menyampaikan hal ini, dalam diskusi Zaen Kasturi bersama penyair Indonesia, Jokpin, Jumaat lepas, bahawa peringkat pertama menghadapi puisi adalah penghayatan. Kefahaman hadir setelah itu, hanya jika kita telah menjumpai kunci yang berupaya membuka pintu masuk ke dalamnya. Tetapi masih lagi, jika bahasanya indah, Puisi berbara dari mata penyair, bernyala di tangannya, berkobar dalam kata-kata dan kembali berbara di mata pembaca. Puisi hadir sebagai satu terjemahan keadaan separa/penuh sedar seseorang penulis. Puisi memang perlu ditafsir, namun bukan menjadi keterpaksaan menafsirkan puisi. Saya sendiri pun terkadang ketika membaca tafsiran rakan-rakan perihal puisi-puisi yang pernah saya baca, terkejut dan kagum dengan tafsirannya. Ya, benar, jika Freud berkata, perkahwinan adalah perbualan yang panjang, maka saya katakan kepada anda, puisi juga adalah perbualan panjang. Pertama: antara puisi dan penyair, dan kedua: puisi kepada pembaca. Barangkali maknanya tidak akan tiba pun kepada kita.
Jika kita sebagai pembaca sentiasa mencari mesej dalam puisi, ia sesuatu yang janggal, kerana puisi merupakan teka-teki(yang mendekati assumption), bukan soalan mudah 1+1 bersamaan 2, atau kita patut bertanya: Benarkah penyair itu menyampaikan mesej apa-apa?
3.
Bagaimana kalau saya katakan, kita tidak mencari apa-apa pun sebenarnya dari puisi. Saya percaya, pada puisi, sentiasa ada sebab untuk kita kembali merenung kepada sesuatu yang jauh atau barangkali di hadapan kita. Membaca puisi merupakan sebuah usaha mengisi keberadaan ketika tertanya-tanya: kita di mana?
Sudah tentu saya tidak dapat menjawab persoalannya untuk kalian, namun pendapat peribadi saya adalah dalam apa hal saja, tidak dalam puisi saja, apa yang kita cari adalah diri kita sendiri. Kita mencari kata-kata yang dapat mewakili atau menghuraikan atau meleraikan kekusutan. Kita mencari kata-kata yang dapat berkongsi secebis hidup kita.
Puisi boleh jadi keterbalikan juga pembelokan realiti, tanpa kunci (pengalaman/pengetahuan), mana mungkin kita dapat menyelak pintu masuk ke dalam kamar tersebut. Dan boleh jadi sebaliknya, puisi, merupakan kunci kepada pintu-pintu pengetahuan yang sering kita pulas tombolnya namun belum terbuka dalam kehidupan.
Nota: Esei ini ditulis untuk sesi bersama Buku Jalanan UIA pada 17 Oktober 2018, UIAM Gombak.