Kaneko Misuzu: Potret Penyair yang Hilang

Esei oleh Karim Mohd (Dewan Sastera, Mei 2020)

“Awak tengah buat apa?” Di depan saya terpacak anak saudara yang masih kecil sementara saya masih terpaku di kerusi. “Tengah buat apa?” ulangnya lagi dengan mata meliar ke pen dan kertas di atas meja. Terdapat kepolosan pada soalan itu. Tetapi kenapa saya tidak menjawab dan menepisnya? Apakah benar itu yang dimaksudkannya? Saya sedang buat apa? Atau, saya sedang buat apa… dengan hidup saya? Seolah-olah soalan semudah itu mempunyai tenaga dan kuasa menghantar saya jauh ke lohong eksistensial. Saya melihat ke dalam mata bundarnya, terhampar sebuah semesta persoalan tanpa dinding tanpa dasar di dalamnya, dan di tengahnya dia terapung dalam posisi fetal, menggigit jari antara lebar perasaan; ragu, simpati. Apakah kanak-kanak inilah yang kita hilang dalam diri selama ini?

Bukanlah aneh. Kanak-kanak sering mengejutkan kita dengan isi kepalanya. Dunia kanak-kanak begitu suci dan murni sekaligus menakjubkan. Kepala mereka banyak persoalan. Persoalan ialah tenaga kepada pengetahuan. Mulut mereka banyak jawapan. Telinga mereka terbuka luas bagai telinga kelinci pekanya. Mata bundar mereka sentiasa teruja memerhati tingkah dunia dan alam. Kepolosan jiwa kanak-kanak akan sering dapat mengejutkan kita. Ia boleh bersetuju atau tidak bersetuju. Mempersoalkan benda-benda remeh. Dalam kepala mereka segalanya bisa terjadi. Tidak dibataskan oleh pagar-pagar yang terbina seperti dalam kepala orang dewasa oleh budaya dan agama.

Persoalan anak saudara itu mengingatkan saya akan terjemahan puisi seorang penyair wanita Jepun yang dikirim seorang teman penyair (yang telah menyumbangkan masa dan tenaga menterjemahkannya untuk sebuah laman siaran puisi) sebulan lalu.

Pada tahun 1923, penyair itu menulis begini;

“loceng, burung kecil dan aku
setiap kita berbeza, setiap kita ada eloknya”

-Loceng, Burung Kecil dan Aku

Dia cinta dan peka dengan persekitaran, dia membayangkan diri sebagai seorang kanak-kanak riang yang berlari dengan sebuah loceng tergantung di hujung atap dan seekor burung kecil hinggap di ranting pohon. Dia menemukan sajaknya dalam keriangan tetapi sajaknya tiba dalam keheningan. Saya tidak sangka yang dari kejernihan ini, saya jadi teruja untuk membaca puisi lainnya daripada beberapa kiriman terjemahan tersebut. (Juga dikatakan yang kerja terjemahan dari Jepun ke Inggeris oleh Michiko Tsuboi dan Sally Ito dikerjakan dengan mengaju percakapan serta lenggok bahasa kanak-kanak Jepun.)

Penyair ini bernama Kaneko Misuzu, seorang pengarang puisi kanak-kanak yang popular dalam kalangan rakyat Jepun. Dilahirkan pada tahun 1903, era Taisho di sebuah perkampungan nelayan tanah barat negeri matahari terbit itu, dia dibesarkan dalam keluarga pemilik kedai buku menjadikannya pencinta buku sejak kecil lagi. Dengan galakan emaknya (bapanya telah meninggal sewaktu dia masih kecil) dan neneknya, dia meneruskan pelajaran sehingga usia 18 tahun, suatu pencapaian di luar jangkaan semasa itu.

Kini, jika kamu ke Nagato, Yamaguchi dan berjalan kaki lima minit dari Stesen Senzaki, kamu akan melalui sebatang jalan yang menayangkan petikan puisinya. Jika kamu berjalan ke depan sana sedikit, kamu akan dapat melihat Misuzu Kaneko Memorial Museum terdiam indah dengan rekaan rumah kayu Jepun lama seolah-olah sebuah kedai buku dibawa dari masa lalu. Muzium ini dibuka sejak 2003 bagi meraikan 100 tahun kelahiran Misuzu dan betul-betul dibina semula atas tapak lama kedai buku yang menjadi tempat penyair itu menghabiskan masa kecilnya.

Kita mungkin dapat membayangkan Misuzu seperti Emily Dickinson yang duduk jauh dari kesibukan kota dan helahnya. Cuma saja dia membesar di desa nelayan,  maka dia hampir kepada lautan dan pantai, ikan-ikan dan seluruh isi samudera. Masa kecil Misuzu yang dekat dengan alam ini banyak dipaparkan dalam puisinya, menjadi penting kepada pembentukan diri sebagai penyair, dan bagaimana dia melihat dunia dari mata kanak-kanak.

Saya membaca pula puisi Pekan Indah (Beautiful Town);

PEKAN INDAH

Tiba-tiba saya teringat kembali pekan itu…
Bumbung-bumbung merah sepanjang sungai;
dan kemudian, di atas sungai biru lebar itu
sebuah perahu layar—senyap, senyap bergerak;
dan atas rumputan hijau
seorang pemuda, pelukis,
tegak berdiri menatap air.

Dan saya? Saya sedang buat apa ya?
Bila saya cuba ingat saya lupa,
rupa-rupanya itu semua cuma gambar dalam buku yang saya pinjam.

Kekuatan Kaneko dalam puisinya ialah dia dapat meregang lebar keupayaan khayalan seorang kanak-kanak, mengubah gambar menjadi benar dan yang benar menjadi gambar.

Pada tahun 1923, Misuzu si gadis muda manis ini bekerja di kedai buku pak saudaranya. Pada waktu senggang, dia mula mengarang puisi-puisinya, dan tak lama selepas itu menghantar lima buah puisi kepada lima majalah berbeza yang mana empat daripadanya disiarkan. Puisi-puisinya tidak mengambil masa yang lama untuk disukai para pembaca kanak-kanak malahan golongan dewasa. Di awal usianya, dia sudah menjadi popular di Jepun waktu itu. Dia menjadi bintang segera dengan beberapa lagi puisi tersiar. Dalam masa lima tahun kemudian dia sudah menerbitkan sejumlah 51 buah puisi. Setelah kolum kiriman pembaca dibuka, para pembaca mula mengirim puji-pujian dan kesukaan mereka terhadap puisi kanak-kanak yang dikarang Misuzu.

Kaneko ternyata begitu ghairah dengan penulisan puisinya. Tetapi tak lama selepas itu, dia dinikahkan dengan seorang kerani yang juga bekerja di kedai buku ibunya. Keadaan menjadi kelam kabut. Adik lelakinya, Masasuke ada masalah dengan suaminya dalam hal pengurusan kedai buku itu. Dalam perhubungan peribadinya pula, suaminya selalu keluar main perempuan lain malah menjangkiti Kaneko dengan penyakitnya, menjadikan tubuh badan Kaneko lemah tak bermaya. Apatah lagi, suaminya tidak membenarkan lagi Kaneko menulis. Seksa fizikal dan mental ini barangkali menghantar Kaneko ke lohong depresi. Saya teringat kesepian Misuzu dalam Timbunan Salji (Snow Piles):

TIMBUNAN SALJI

Salji di puncak
pasti merasa dingin
caya bulan beku menikamnya

Salji di dasar
pasti merasa beban
oleh injakan ratusan orang di atasnya

Salji di tengah
pasti merasa sepi
tanpa bumi dan langit untuk tatapan

Bagaimana dia melihat timbunan salji dan terfikir akan nasib setiap bahagian itu lalu berasa kasihan pada salji di tengah yang baginya, sepi. Salji pun sunyi, apatah lagi hati manusia. Apa salahnya berkongsi kesepian salji? Misuzu sentiasa dapat melihat kerumitan dalam kemudahan. Dan dalam konteks ini saya tidak dapat beralih dari memikirkan yang seolah-olah Misuzu memisalkan dialah salji di tengah. Atau boleh jadi dia juga salji di puncak, atau salji di dasar.

Misuzu sudah tentu berasa terasing semasa itu. Keadaan tambah buruk. Dia menceraikan suaminya, tetapi akibatnya dia hilang hak penjagaan terhadap anak perempuannya di bawah undang-undang Jepun.

Apabila wakil dari sekolah tingginya meminta sumbangan karya untuk risalah edaran mereka, Misuzu menulis:

Sayap khayalan saya yang pernah membelah awan tinggi sedekat matahari kini sudah dipaku ke dinding. Yang tinggal pada saya cuma seorang ibu yang dungu. Saya masih sekadar ulat buku itu yang khayal dengan dunia dalam buku bacaan dan tidak berusaha menghadapi kenyataan dunia sebenar. Kegembiraan saya ada pada keriangan anak perempuan saya dan pada terbukanya buku-buku.

Tak lama selepas hari lahir ke-27, Kaneko mandi bersama anak perempuannya yang masih kecil itu dan berkongsi manisan tradisi Jepun dengannya. Dia kemudian menulis sepucuk surat kepada bekas suami, meminta anak mereka diserahkan untuk dijaga oleh neneknya. Setelah itu, dia membunuh diri.

Dalam sebuah puisi, Misuzu sempat menyatakan keterasingannya dari anak perempuan. Malah juga rasa keasingan dari puisi-puisinya. Dia memisalkan dirinya sebagai lelaki penjual bunga, dengan sederhananya, sekadar berdoa bunga-bunga yang pernah dijaga beroleh bahagia.

LELAKI KEDAI BUNGA

Si penjual bunga

ke pekan untuk menjual bunga
dan laku semuanya.

Kasihan penjual bunga bersunyi
Bunga-bunga yang dijaganya tiada lagi

Si penjual bunga
kini berseorangan di pondoknya
sementara matahari terbenam.

Si penjual bunga
impikan bahagia
buat bunga-bunganya yang telah laku.

Kematian Misuzu kerana bunuh diri seolah mengulangi tragedi Plath dan Hughes, atau di China, penyair Gu Cheng dan Xi Er. Pasca kemaraan perang dunia kedua, puisi-puisi Misuzu pun dikuburkan waktu dan barangkali cuma tinggal dalam ingatan pembacanya. Setelah itu, khazanah puisi sekaligus kewujudan penyair bernama Misuzu Kaneko ini lenyap selama 36 tahun.

Kerja menulis umpama membahagikan nyawa ke dalam tulisan-tulisan, seperti Voldemort dan Horcrux-nya. Misuzu bernasib baik apabila sebuah puisinya yang terselit di celahan buku lama ditemukan oleh seorang pemuda berusia 19 tahun, Setsuo Yazaki(yang kemudiannya menjadi sarjana sastera), ketika meneroka bacaan di sebuah kedai buku pada tahun 1966.

Perhatikan puisi Habuan Besar Tairyo (Big Catch) ini;

HABUAN BESAR

Tika terbit mentari, terbitnya cemerlang
ada habuan besar!
habuan besar sardin-sardin!

Di pantai, seperti perayaan
tapi di laut, mereka akan
berkabung
untuk puluhan ribu kematian

Puisi dua rangkap ini dimulakan dengan keterujaan dan girang oleh tangkapan besar sewaktu pagi hari. Ia sebuah kemenangan buat para nelayan dan jalanya. Tapi kaca mata polos Misuzu jauh menyelam ke dasar mata ikan dan melihat dalam matanya ialah bayangan upacara perkabungan keluarga mereka di dasar laut, bermurung meratap kehilangan. Siapalah yang dapat mengasihi, bahkan, ikan-ikan di laut seperti Misuzu?

Juga tak siapa menyangka sebuah puisi ini menyalakan kobaran aneh di dada Setsuo Yazaki. Yazaki naik gila dengannya dan mula menjejak kembali jika ada puisi-puisi Misuzu yang lain. Tidak ada siapa tahu selepas pengeboman di Tokyo, jika Misuzu masih hidup atau tidak. Dia lenyap terus dari peta sastera Jepun.

Dengan dada masih terbakar oleh baris puisi Misuzu, Yazaki meneruskan penjejakannya di pelbagai akhbar dan majalah. Hanya tiga dekad selepas kematian Misuzu, pada usia Yazaki pun sudah pertengahan 30-an, dia berhasil menemui adik lelaki Misuzu, Masasuke yang sudah lanjut usianya waktu itu. Yazaki menarik nafas lega atas pencarian enam belas tahunnya yang ternyata tidak sia-sia apabila dia dihulurkan tiga buku catatan milik Misuzu berisi lebih 500 buah puisi, draf dan catatan.

Sejak tahun 1982, JULA Publishing menerbitkan 512 buah sajak yang diambil daripada buku catatan yang ditemui Setsuo Yazaki ke dalam enam jilid buku. Puisi-puisinya dimuatkan di laman web pelancongan Jepun sebagai salah satu tarikan pelancong.

Yazaki yang kini menguruskan Kaneko Misuzu Memorial Museum berkata, “Puisi-puisinya melangkaui sempadan apa saja, ia universal.” Dia menarik nafas lega kerana setelah usaha pencariannya, Misuzu Kaneko diperkenalkan pula kepada pembaca dunia yang lebih luas. “Tiada penjelasan yang sukar diperlukan kerana sajak-sajaknya mencakupi tema yang mudah dan kelihatan remeh tetapi itulah yang selalunya manusia terlepas pandang.”

Rujukan

1. Are You an Echo? The Lost Poetry of Misuzu Kaneko Chin Music Press 2015

2. Are You An Echo: The Remarkable Story of the Forgotten Young Woman Who Became Japan’s Most Beloved Children’s Poet

3. Forgotten Woman: The life of Misuzu Kaneko

4. Misuzu Kaneko: A deeper empathy for the natural world

Nota
Selain sajak Pekan Indah (Beautiful Town), terjemahan penulis sendiri, semua terjemahan lain dikreditkan kepada Syaheeda Hamdani; tersiar dalam laman web Bilik Penyair (bilikpenyair.com)

Karim Mohd merupakan kurator laman Bilik Penyair.

Media Sosial

Follow Bilik Penyair on WordPress.com
Bacaan lain
Kubur Ini (2)