Wawancara Muhammad Haji Salleh

diwawancarai SUTUNG UMAR RS dan RAHMAN SHAARI

Pengarang ini hanya mula dikenali di tanah air pada akhir 1960-an meskipun beliau sebenarnya telah menulis lebih awal lagi. Beliau telah banyak menghabiskan usia beliau di luar negeri dan menulis puisi yang kebanyakannya dalam bahasa Inggeris. Penglibatan beliau dalam bidang puisi mula diperkatakan oleh para pengkritik apabila beliau kembali ke tanah air.

Muhammad Haji Salleh, yang kini lebih dikenali sebagai penyair dan penulis esei serta kritikan sastera yang disegani, telah menulis semenjak di Maktab Perguruan Tanah Melayu di Brinsford pada tahun 1963. Oleh kerana latar belakang persekolahan yang hampir pada bahasa dan kesusasteraan Melayu dan Inggeris, beliau menulis dalam kedua-dua bahasa itu sekali gus. Beliau terpengaruh dengan T.S. Eliot dan W.H. Auden yang beliau minati pada waktu itu, dan hal ini dapat dikesani dalam puisi-puisi beliau dalam bahasa Inggeris.

Dilahirkan di Taiping, Perak pada 26 Mac 1942, Muhammad Haji Salleh mendapat pendidikan awal di High School Bukit Mertajam dan Maktab Melayu Kuala Kangsar. Beliau kemudian melanjutkan pelajaran ke Malayan Teachers’ College, Brinsford Lodge, England. Beliau memperoleh ijazah Sarjana Muda Sastera di Universiti Malaya (Singapura), ijazah Sarjana Sastera dari Universiti Malaya pada tahun 1970, dan ijazah Ph.D. dari Universti Michigan, Amerika Syarikat pada tahun 1973.

Pada tahun 1977 beliau pernah dilantik sebagai Profesor Tamu di bawah rancangan Fulbright-Hays dan mengajar di Carolina State University, Raleigh, Amerika Syarikat. Muhammad Haji Salleh kini bertugas sebagai Pensyarah di Jabatan Persuratan Melayu dan pernah menjadi Naib Dekan Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Ketua Institut Bahasa dan Kesusasteraan Melayu. Pada tahun 1978 beliau dilantik menjadi Profesor Kesusasteraan.

Ketokohan Muhammad Haji Salleh dalam dunia penulisan puisi Melayu moden begitu dirasakan oleh para peminat sastera tanah air apabila beliau mendapat perhatian bukan sahaja oleh Panel Hadiah Karya Sastera tanah air tetapi juga setelah beliau memenangi Hadiah Sastera Asean di Bangkok. Sejak tahun 1971, beberapa buah puisi beliau telah dipilih sebagai pemenang dan kemudiannya dalam tahun 1977, Muhammad telah menerima Hadiah Sastera Asean bahagian puisi melalui kumpulan puisi Perjalanan Si Tenggang II.

Bagi Muhammad, puisi ialah bentuk sastera yang kental dengan muzik bahasa dan kebijaksanaan penyair dan tradisinya. Sebuah sajak atau pantun ialah susunan muzik bahasa yang mengindahkan bahasa itu serta juga pembacaan atau pendengaran. Beliau bersetuju dengan definisi oleh Robert Frost, seorang penyair Amerika, bahawa puisi ialah sesuatu yang kita bijaksana setelah kita membacanya. Penyair-penyair menolong menyedarkan kita kepada masalah kita bersama, malah mendefinisikan masalah penting untuk kita benar-benar menyelesaikannya.

Amat jelas bahawa tema puisi Muhammad pada umumnya lebih banyak memaparkan masalah-masalah bersama, masalah eksistensi individu yang berhadapan dengan kehidupan kekotaan. Bangunan-bangunan tinggi, teknologi moden, motokar, lampu neon, bukan menjadi teman tetapi sebagai objek yang ditentang dan diperhitungkan melalui sesuatu moral judgement (kemelayuan atau kemanusiaan sejagat). Kehidupan kekotaan penuh bobrok, dan persekitaran yang seperti ini dilawan otak, akal, dan pegangan. Demikian puisi-puisi Muhammad lebih menekankan pemikiran daripada perasaan. Sikap dan fikiran beliau tercermin kepada bentuk puisi yang padat dan kata kata yang kurang mengandungi emosi.

Beliau secara sedar berusaha menggunakan bahasa yang tidak biasa digunakan oleh penyair lain. Maka itu kelihatan pembentukan ungkapan-ungkapan baru untuk memberikan ketepatan dan ketajaman makna. Namun dalam ungkapan yang baru dan asli itu, kadang-kadang terasa asing pengucapannya, dan hal ini mungkin juga pengaruh kesusasteraan dunia yang pernah menjadi kajian dan pengalaman beliau.

Muhammad Haji Salleh meminati Chairil, Subagio, dan pada suatu ketika T.S. Eliot dan Pablo Neruda. Beliau meminati sastera dari Barat lantaran bukan sahaja terdapatnya keragaman tetapi juga kerana di Barat sastera itu sudah menjadi sebahagian daripada ilmu tentang manusia dengan falsafah, psikologi, dan sebagainya. Yang lebih menarik minat beliau ialah sastera di Barat itu mengandungi cksperimen-eksperimen yang pelbagai yang cuba mencari stail yang sempurna untuk ekspresi yang tepat. Itulah antara unsur-unsur Barat yang diperhatikan beliau.

Muhammad telah menerbitkan enam buah kumpulan puisi di samping beberapa antologi puisi. Kumpulan puisi Muhammad Sajak-Sajak Pendatang tidak sahaja memuatkan sejumlah puisi yang dicipta pada masa penyair mengembara di luar tanah air, malah ia dianggap sebagai kumpulan sajak yang kukuh, berbeza daripada sajak-sajak yang dicipta oleh penyair sebelum dan semasa beliau. Panel Hadiah Karya Sastera telah memilih buku Perjalanan Si Tenggang II sebagai kumpulan puisi Muhammad yang terbaik bagi tahun 1975. Kumpulan ini dikatakan telah dengan jelas memperlihatkan bukan saja stail dan peribadi penyair, tetapi juga konsep puisi yang secara tegas menjauhkan diri daripada ungkapan romantik dengan menggunakan kata-kata secara tepat, fungsional, dan berkesan.

Sebagai penyair yang menguasai bahasa Melayu dan Inggeris, Muhammad mempunyai kemampuan berbahasa yang kuat untuk menterjemahkan puisi-puisi Melayu ke bahasa Inggeris. Beliau ialah salah seorang penterjemah kesusasteraan yang penting yang telah banyak memindahkan puisi Melayu dalam bahasa Inggeris. Malah beliau pernah mengetuai Persatuan Penterjemah Malaysia dari tahun 1978 hingga 1982.

Oleh kerana kegiatan kreatif dan ilmu beliau dalam kajian kesusasteraan, beliau pernah duduk sebagai salah seorang editor dalam jurnal Tenggara, anggota Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka serta anggota Pan Anugerah Sastera Negara. Di peringkat antarabangsa nama beliau turut terkenal sebagai penyair dan sarjana. Beliau kerap mengambil bahagian dalam pembacaan puisi di peringkat antarabangsa scperti di Washington D.С., Michigan, Koln, London, Bangkok, Medan, dan lain-lain.

Demikianlah Muhammad Haji Salleh sebagai sasterawan dan sekali gus seorang ahli akademik telah memainkan peranan penting dalam dunia kesusasteraan Melayu. Dalam banyak pertemuan penulis yang beliau hadiri dan kertas-kertas kcrja yang beliau hadiri dan kertas-kertas kerja yang beliau bentangkan, Muhammad banyak sekali memberikan perhatian tentang teori-teori sastera dalam hubungannya dengan kesusasteraan Melayu, dan sebagai seorang akademik, penekanan  terhadap aspek-aspek teori sastera menjadi tumpuan dan minat beliau yang utama. Di samping itu, terhadap puisi-puisi yang beliau hasilkan, puisi-puisi beliau selalu dihubungkan dengan intelektualisme, idea, dan pemikiran yang cukup serius. Muhammad melihat kehidupan dengan sikap intelektual seorang pencari dan pemikir. Sebagai seorang penyair yang rajin bereksperimen dan mencari bentuk-bentuk baru yang lebih kuat, Muhammad sejak akhir-akhir ini banyak menghasilkan puisi yang didasarkan buku Sejarah Melayu. Puisi-puisi tersebut dapat diikuti dalam buku beliau berjudul Sajak-Sajak dari Sejarah Melayu yang telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1981.

Muhammad Haji Salleh telah dianugerahi gelaran tertinggi bagi tokoh sastera tanah air iaitu Sasterawan Ncgara pada 21 Disember 1991. Berikut adalah wawancara Saudara Sutung Umar RS dan Saudara Rahman Shaari yang tersiar dalan Dewan Sastera, Oktober 1976:

SUTUNG UMAR RS

Bilakah saudara mula mencipta dan apakah latar belakang awal saudara mencipta?

MUHAMMAD HAJI SALLEH

Soalan saudara meminta saya pulang ke masa silam yang jarang saya buat. Setahu saya minat sastera dalam keluarga saya tidak ada secara jelas. Ayah saya pernah belajar di Makkah dan kuat agamanya. Beliau mendorong saya ke ilmu agama sejak kecil lagi. Tiga kali saya bertukar sekolah agama di Sungai Aceh dan Bukit Mertajam. Minat saya terhadap sastera mungkin datang daripada peribadi saya yang selalu menyendiri. Ini ditajamkan pula oleh keadaan saya yang selalu berpindah kampung dan sekolah. Karya sastera menjadi teman setia, yang selalu ada apabila diperlukan rujukan atau pemecah soalan.

Tentang kecenderungan sastera dan ‘bakat’, kalau saya boleh gunakan istilah itu untuk diri saya, saya disedarkan oleh komentar-komentar guru saya pada waktu saya dalam Tingkatan II dan setelah itu di maktab perguruan dan universiti-universiti di mana saya pernah belajar. Saya juga pernah memenangi hadiah Biasiswa Wise and Butler, di Malay College. Hadiah ini diberikan berdasarkan kepada suatu peraduan mengarang dan menterjemah. Mungkin perkara yang mengghairahkan saya sekali sehingga ini ialah hadiah sebanyak $5.00 yang diberikan oleh Utusan Kanak-Kanak pada tahun 1952 atau 1953 untuk sebuah karangan saya.

Saya mula menulis puisi pada tahun 1963, waktu saya mula masuk ke Maktab Perguruan Tanah Melayu di Brinsford. Oleh kerana latar belakang persekolahan saya yang menyaingi bahasa dan kesusasteraan Melayu dan Inggeris, saya menulis dalam kedua-dua bahasa itu sekali gus. Puisi-puisi Melayu saya ada membawa unsur-unsur aliran penulisan di Malaysia dan di Indonesia pada waktu itu dan puisi Inggeris saya terpengaruh oleh Eliot dan Auden yang amat saya minati pada waktu itu. Oleh kerana di Brinsford ada kursus-kursus Sastera Malaysia-Indonesia dan Inggeris, saya mula mendekati kedua-dua sastera itu. Pada waktu ini juga saya dibesarkan oleh pembacaan antara sastera. Walaupun saya bukan dramatis, sebagai seorang manusia, saya agak gilakan drama dan pernah pergi ke Stratford-on-Avon atau ke London untuk menonton drama. Pada waktu saya di sana, ada suatu perayaan besar, iaitu ke-400 tahun hari jadi Shakespeare. Saya dengan serentak dikenalkan kepada karya-karya Shakespeare yang terbaik dan dilakonkan oleh pelakon terbaik pula, misalnya Laurence Oliver dan Maggie Smith dalam Othello.

Saya banyak belajar daripada eksperimen penulis-penulis yang saya baca – dari Timur dan Barat.

RAHMAN SHAARI

Mengapakah karya-karya yang saudara tuliskan di Malaysia lebih sedikit daripada karya yang saudara tuliskan di luar negeri?

MUHAMMAD

Baik saya jelaskan sedikit tentang latar belakang saya selama 14 tahun saya menulis. Saya mulai menulis semasa saya belajar di Maktab Perguruan Brinsford selama dua tahun, iaitu pada tahun-tahun 1963 dan 1964. Setelah 4 bulan, pulang ke tanah air, saya masuk ke universiti selama tiga tahun, 1965-1968. Waktu saya membuat penyelidikan untuk ijazah Sarjana Sastera, saya berada lebih kurang enam bulan di Indonesia. Pada bulan Ogos, 1970 saya bertolak ke Universiti Michigan dan belajar di sana lebih kurang tiga tahun. Jadi dalam jangka masa 14 tahun ini, hampir sembilan tahun saya berada di luar negeri dan di persekitaran asing. Jikalau saya ingin benar-benar jujur sebagai seorang penulis, saya harus membincangkan apa yang berlaku di depan mata saya, apa yang nyata, apa yang saya rasa atau runsingkan. Persoalan-persoalan yang saya hadapi sedikit sebanyak berlainan daripada yang saya hadapi di Malaysia. Tapi di mana pun saya pergi, saya masih manusia Melayu, dan saya hadapi semua masalah dan hidup saya sebagai manusia Melayu.

Jikalau saya menghakimi New York, London, atau Tokyo saya menghakimi kota-kota ini sebagai manusia yang pernah bekerja di sawah, ladang getah, atau pergi ke sekolah Melayu agama, dan Inggeris. Saya kurang bersetuju dengan pendapat-pendapat yang mahu menyempitkan horizon pandangan seseorang penulis itu kepada Malaysia saja. Penulis-penulis agung dunia dapat melukis dan mendalami soalan yang melampaui batas sempadan negeri. Lihat saja Sejarah Melayu yang mencerminkan manusia Melayu yang kosmopolitan, penuh rasa percaya akan dirinya sendiri dan amat luas pengetahuannya tentang jagat Tuhan ini. Saya ingin menjadi penulis yang tidak takut kepada kelainan-kelainan, kepada ilmu yang datang dari luar negeri. Kalau ada bakat, saya ingin menjelajah dan menulis tentang dunia Tuhan yang luas ini.

Untuk menjawab soalan saudara secara lebih khusus, sehingga hari ini saya menulis lebih banyak puisi-puisi tentang Malaysia daripada tentang hal-hal bukan Malaysia.

Jikalau saya pernah menulis tentang batu-batu di Arizona saya juga pernah menulis tentang pasir, teluk bukit bukit di Teluk Kemang, seorang penjual bunga di Sungai Aceh, kelekatu yang saya lihat di Bukit Mertajam pada suatu malam, seorang tua di Sungai Ayam di Batu Pahat dan sebagainya. Ada dua buah buku puisi lagi yang ingin saya terbitkan dan kedua-dua buah buku ini akan mengandungi puisi yang banyak membincangkan keragaman Malaysia. Pertama ialah satu kumpulan yang mungkin saya beri judul “Ini Juga Duniaku” dan kedua sebuah kumpulan puisi yang dipadankan daripada cerita-cerita Sejarah Melayu.

RAHMAN

Adakah saudara pernah meminati karya-karya sasterawan tanah air?

MUIIAMMAD

Tentu saja, saya suka kepada tulisan A. Samad Said, Usman Awang, Baharuddin Zainal, Latiff Mohidin, dan sebagainya. Karya-karya ini cukup menarik dan banyak antaranya boleh disamakan mutunya dengan karya-karya di luar negeri.

SUTUNG

Semasa mencipta apakah saudara sedar terhadap proses penciptaan?

MUHAMMAD

Saya sedar akan apa yang berlaku semasa saya menulis, kerana saya kurang percaya kepada inspirasi untuk menulis puisi-puisi saya. Tapi saya percaya bahawa untuk diri saya sendiri mesti ada ketenangan dan waktu berfikir yang panjang untuk menulis dengan ghairah. Inspirasi sebenarnya ialah kerja kuat.

SUTUNG

Bila saudara membaca atau mencipta, apakah yang saudara mahu daripadanya?

MUHAMMAD

Fikiran atau insight terhadap kehidupan yang boleh memperkayakan hidup, dalam bahasa yang tepat, cantik atau muzikal.

RAHMAN

Tegasnya apakah yang saudara cari daripada puisi dan adakah saudara sering mendapatnya?

MUHAMMAD

Pada saya puisi ialah bentuk sastera yang terkental dengan muzik bahasa dan kebijaksanaan penyair dan tradisinya. Sebuah puisi atau pantun ialah susunan muzik bahasa yang mengindahkan bahasa itu serta juga pembacaan atau pendengaran. Saya bersetuju sekali dengan definisi oleh Robert Frost, seorang penyair Amerika yang menyatakan bahawa puisi ialah sesuatu yang setelah kita membacanya kita menjadi lebih bijaksana. Puisi yang baik menolong kita dalam kehidupan. Menolong kita mengenal dengan lebih intim dunia kita, diri kita, dan hubungan kita dengan persekitaran kita. Penyair yang baik mempunyai insight apabila menulis dan insight inilah yang menolong mengajar kita.

Penyair-penyair menolong menyedarkan kita kepada masalah kita bersama. Dan mendefinisikan masalah penting untuk kita benar-benar menyelesaikannya. Lihat saja puisi tradisional kita. Pantun misalnya memusatkan perhatiarn kepada titik penting dalam kehidupan:

Hari panjang puyuh mendengut,
Mendengut mari sepanjang jalan;
Air dalam kapal tak hanyut,
Kononlah pula kemarau panjang.

Begitu juga pepatah-pepatah kita seperti:

Hidup dikandung adat,
Mati dikandung tanah.

Berat sama dipikul,
Ringan sama dijinjing.

Jadi, daripada puisi saya harapkan kebijaksanaan dan pengalaman yang akan menolong saya dan orang lain untuk hidup dengan lebih baik lagi. Puisi amat dekat kepada falsafah, kepada agama. Saya ingin puisi menceritakan tentang hidup sebenarnya dengan segala kesucian dan kekotorannya, segala kebijaksanaan dan ketololannya. Saya ingin puisi bercerita tentang manusia seperti manusia. Saudara bertanya apakah saya sering mendapatnya. Jawabnya jarang-jarang. Kata W.H. Auden, penyair Inggeris-Amerika, daripada 100 buah puisi yang ditulisnya mungkin yang cukup besar dan penting hanyalah lebih kurang sepuluh peratus, itu pun suatu purata yang agak tinggi. Tapi kita mesti juga lalui puisi-puisi kecil untuk mendapatkan yang besar dan agung.

SUTUNG

Pada mulanya saudara mencipta dalam bahasa Inggeris, mengapa sekarang saudara kembali mencipta dalam bahasa Melayu? Apakah saudara fikir saudara lebih berkemampuan mencipta dalam bahasa Melayu?

MUHAMMAD

Waktu di sekolah dulu saya hanya mengikuti mata pelajaran Sastera Melayu selama 2 tahun iaitu semasa di Tingkatan IV dan V manakala dalam sistem persekolahan tahun-tahun 1950-an dahulu saya diwajibkan mengikuti sastera Inggeris dari sekolah rendah lagi. Pada waktu itu juga penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi amat terhad dan di sekolah saya di Bukit Mertajam pada tahun 1957 tidak diajar bahasa Melayu, manakala kita dipaksa menguasai bahasa Inggeris. Pembacaan yang saya buat ialah dalam bahasa Inggeris dan sedikit sebanyak bahasa ini mempengaruhi saya. Apabila saya mula menulis dulu, saya sebenarnya menulis dalam kedua-dua bahasa, iaitu bahasa Melayu dan Inggeris. Tetapi waktu saya mula keluar belajar ke negeri yang tidak menggunakan bahasa Melayu, saya lebih banyak menulis dalam bahasa Inggeris. Tetapi apabila saya di Malaysia atau Indonesia, saya lagi menggunakan bahasa Melayu kerana yang menjadi bahasa harian saya bukan lagi bahasa Inggeris.

Walau bagaimanapun, saya berhenti menulis dalam bahasa Inggeris pada tahun 1973 kerana saya merasakan untuk benar-benar berkembang dalam tulisan, saya mesti memilih satu bahasa dulu dan kuatkan bahasa saya itu. Setelah 13 tahun menulis dalam bahasa Melayu saya rasa ekspresi saya mulai lebih natural dalam bahasa ini dan saya berani bereksperimen dengan penuh faham akan kemungkinan bahasa itu.

RAHMAN

Tidakkah saudara berura-ura hendak menterjemahkan karya-karya dalam bahasa Inggeris itu ke bahasa Melayu?

MUHAMMAD

Telah pun saya terjemahkan beberapa. Tapi sekarang kerja-kerja administrasi terlalu banyak mengambil waktu ciptaan saya. Insya-Allah akan saya selesaikannya, dan kalau boleh diterbitkan juga.

RAHMAN

Saudara dianggap umum sebagai seorang sasterawan yang tidak berpijak di Malaysia. Karya saudara dari segi teknik dan isi, lebih dekat kepada Indonesia dan Barat. Apa sikap saudara terhadap pandangan yang demikian?

MUHAMMAD

Pendapat yang demikian biasanya ialah pendapat yang emosional yang tidak berjejak kepada puisi-puisi saya. Saya ingin puisi-puisi saya dibaca dan seterusnya dinilai dengan teliti, selepas itu saya akan menerima komentar-komentar ini dengan segala rendah diri sebagai penyair yang sedang belajar menulis. Beberapa orang yang selalu mengejek-ejek tulisan saya hanya pernah mendengar bahawa saya menulis sebuah puisi bernama “Batu-Batu” dan oleh kerana dilihatnya di akhir puisi-puisi itu ada tercatat nama tempat di Amerika maka dia pun terus merasakan dirinya berhak menuduh saya tidak menulis tentang Malaysia. Saya meminta orang-orang yang membuat komentar begini supaya membaca dulu puisi-puisi saya dan lihat secara nyata berapa puisi ditulis tentang luar negeri dan berapa tentang dalam negeri; lihat juga puisi Inggeris saya yang hampir semuanya membicarakan tentang tanah air.

Tapi soal apakah puisi ditulis di Amerika tentang kejadian-kejadian di Amerika dan tidak di tanah air bukanlah soal yang besar. Jikalau mengikut urutan logika pengomen ini, kita hanya mesti menulis tentang Malaysia saja, baca buku yang ditulis di Malaysia saja, menonton filem-filem Malaysia saja dan jangan pedulikan apa yang berlaku kepada negeri-negeri asing. Ternyata di negeri-negeri asing itu pun ada manusianya, ada alamnya.

Manusia kadang-kadang mengembara. Manusia Melayu yang agung dalam Sejarah Melayu ialah manusia yang selalu belayar ke negeri-negeri asing dengan penuh kepercayaan akan kebolehannya dan ketinggian tamadunnya. Sejarah Melayu merasakan orang-orang Melayu pada zaman itu bukan saja tidak kurang daripada bangsa lain tapi dalam beberapa hal lebih superior daripada mereka itu. Pahlawan lebih digambarkan sebagai manusia gagah, diplomatik pula, beradat dan pintar, pelaut kita handal dan teknologi kita tinggi. Semua ini datang dengan pengembaraan dan perbandingan.

Manusia Melayu sekarang akan jadi manusia besar seperti datuk nenek mereka di Melaka dulu jikalau kita tidak dengan paksaan menyempitkan horizon kebolehan dan keupayaan kita. Soal yang lebih penting daripada di mana sesebuah karya itu ditulis, ialah mutu karya itu. Inilah yang jarang kita bincangkan di ruang-ruang akhbar atau majalah hari ini. Soal-soal intrinsik, sifat-sifat dan kejayaan teknikal jarang dianalisis dan dinilai. Yang selalu dinilaikan ialah soal sampingan. Soal-soal politik di sekeliling sastera. Tetapi soal sastera sebenarnya tidak kita sentuh. Saya risau juga perkembangan yang sedang berlaku sekarang, kita telah menggantikan perbincangan tentang teori, tugas, isi dan stail kesusasteraan dengan soal-soal siapa naik atau turun dalam persatuan, siapa dapat banyak wang sekali dalam peraduan, siapa pakai motokar apa. Jarang-jarang sekali kita lihat studi teks karya sastera secara serius dan bertanggungjawab. Jikalau kita ingin melihat perkembangan sastera yang lebih wajar dan matang, maka perlu kita kembali kepada sastera itu sendiri dan ketepikan soal yang akan melalaikan kita daripada sastera sebenarnya.

Seterusnya untuk menjawab bahagian berikutnya, soalan saudara tentang dekatnya karya-karya saya kepada Indonesia dan Barat, di sini saya tidak menafikan bahawa ada unsur-unsur yang saya pelajari dari Indonesia dan dari Barat dalam tulisan-tulisan saya. Tapi saya mahu menyatakan bahawa amat banyak juga pengaruh pantun Sejarah Melayu, gurindam, dan karangan berirama serta juga ASAS ’50 dalam tulisan saya di samping pengaruh haiku dan renga Jepun yang amat saya minati. Jadi bukan Indonesia dan Barat tetapi Melayu dan Jepun. Di samping itu saya amat gemar kepada tulisan-tulisan Amerika Latin, Yunani, Afrika, atau penulis Asia Tenggara.

Saya ingin menjadi manusia Melayu yang juga internasional. Saya ingin menjadi Tun Seri Lanang atau Abdullah Munsyi yang luas pandangannya dan tidak dijaringkan oleh prasangka-prasangka. Jikalau orang Inggeris dapat menggambarkan kita dari sudut pandangan mereka, saya telah pun mencuba menggambarkan orang Inggeris dan Amerika dari sudut pandangan Melayu. Lihat puisi-puisi “Di Oxford Street”, “Ann Arbor”, dan “Michigan”. Jadi, apa yang saya tuliskan dalam puisi saya ialah tentang Malaysia, Indonesia, Amerika Syarikat melalui pandangan anak Melayu yang pernah mengembara.

RAHMAN

Saudara telah tidak menerima beberapa hadiah sastera sebelum ini, tapi menerima pada tahun ini (1976). Ini menyebabkan beberapa orang, mungkin juga banyak, menyangka yang penerimaan itu berdasarkan pada jumlah wang yang besar. Bagaimana?

MUHAMMAD

Saya menerima hadiah pada tahun ini kerana saya sendiri pernah menulis kepada panel supaya hadiah begini perlu diberikan. Jadi selaras cadangan saya sendiri maka saya menerima hadiah itu. Jikalau jumlah wang penting untuk saya, saya akan simpan wang itu untuk kegunaan saya sendiri. Tetapi saya rasa wang itu lebih baik disalurkan ke perpustakaan di Institut Bahasa, Kesusasteraan, dan Kebudayaan Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia dan juga untuk menubuhkan sebuah perpustakaan kecil di kampung saya di Bukit Mertajam. Kalau saya menerima wang itu pun, saya terima untuk kegunaan perpustakaan.

SUTUNG

Bagaimana caranya untuk memupuk bakat penulis-penulis muda supaya lebih cepat dapat menulis dengan baik.

MUHAMMAD

Agak susah mencari jalan singkat supaya penulis cepat matang dan menghasilkan karya-karya yang baik. Penulis-penulis harus melalui tahap-tahap perkembangan yang banyak dan memakan waktu pula. Tapi saya kira kursus-kursus penulisan kreatif atau belajar melalui kawan-kawan yang sudah banyak pengalaman akan menolong. Pada pengalaman saya pembacaan yang luas daripada banyak bahasa dan sastera yang selalu dikemaskinikan cepat mematangkan seseorang penulis muda.

RAHMAN

Apakah unsur-unsur positif yang saudara dapat dari Barat?

MUHAMMAD

Ada beberapa unsur positif yang boleh kita dapati dari Barat. Pertamanya saya suka keragaman yang terlibat dalam sastera yang berbahasa Inggeris misalnya dan perbezaannya dengan sastera berbahasa Perancis. (Kita pun ada keragaman sastera kita sendiri, tetapi Barat itu lebih luas dan amat banyak bahasa-bahasanya). Kedua, saya lihat di Barat sastera itu sudah menjadi sebahagian daripada ilmu tentang manusia yang memperlihatkan falsafah, psikologi, dan sebagainya. Selain daripada itu saya juga berminat dengan eksperimen-eksperimen yang berbagai yang cuba mencari stail yang sempurna untuk ekspresi yang tepat. Itulah antara unsur-unsur Barat yang saya kagumi.

RAHMAN

Bolehkah seorang yang hidup mewah menjadi seorang sasterawan yang baik?

MUHAMMAD

Ini suatu soalan yang sulit untuk dijawab kerana saya belum merasakan hidup begitu. Saya lebih berminat melihat peribadi seseorang penulis itu daripada kekayaannya. Peribadi seseorang itu akan menentukan apakah dia seorang yang sensitif terhadap alam, persekitarannya, manusia dan masalah-masalahnya. Pernah ada penulis yang hidup mewah tapi meninggalkan kemewahannya untuk menulis. Antaranya yang saya tahu ialah Tolstoy dan Kazantzakis. Tapi saya rasa kalau penulis itu simple hidupnya dia akan dapat lebih menghayati segala-galanya tanpa prasangka seorang yang pernah hidup senang.

SUTUNG

Setelah jauh mengembara apa perasaan saudara apabila berada di tengah-tengah masyarakat sendiri.

MUHAMMAD

Saya berasa bahawa saya perlu menyumbangkan sesuatu terhadap negara dan ini membuatkan hidup saya lebih bermakna.

RAHMAN

Apakah pandangan dan sikap saudara terhadap agama?

MUHAMMAD

Saya berpendapat bahawa agama penting untuk manusia jikalau dia mahu mengenal dirinya dan berpijak kepada nilai-nilai yang wajar. Untuk diri saya sendiri agama telah menjadikan saya seorang yang serius, saya kira, terhadap kerja-kerja saya. Dari kecil saya disekolahkan di sekolah agama dan di rumah ayah dan ibu saya selalu menekankan nilai-nilai agama. Islam mengajarkan nilai-nilai yang amat rasional dan tidak membendung seseorang itu. Islam juga menggalakkan puisi (sastera) yang baik dan bermakna.

RAHMAN

Bagaimana pula tentang sastera keagamaan?

MUHAMMAD

Saya ingin lihat lebih banyak lagi sastera keagamaan ditulis. Sekarang ini sastera begini agak berkurangan di Malaysia jikalau dibandingkan dengan Indonesia.

RAHMAN

Karya-karya saudara selalu memberatkan unsur pemikiran. Adakah pada pendapat saudara puisi yang baik itu bersifat demikian?

MUHAMMAD

Seperti yang pernah saya sebutkan sebelum ini, puisi yang baik ialah puisi yang boleh menolong seseorang pembaca atau pendengar hidup dengan lebih wajar lagi. Daripada puisi kita boleh sedikit sebanyak belajar jadi lebih peka kepada manusia lain atau cara-cara lain. Dan pemikiran di sini, pada saya, ialah renungan dan perbincangan tentang hidup.

  1. Salam. Saya ingin bertanya, bilakah tarikh artikel wawancara ini dimuat nak ke laman sesawang bilikpenyair.com ?
    Dan izinkan saya untuk menjadikan artikel wawancara ini sebagai bahan rujukan bagi kerja kursus sejarah stpm semester 2 saya ya?
    Terima kasih banyak-banyak jika pihak anda melihat comment ini dan sudi untuk membalas. Terima kasih.

    1. Salam sdri. Maaf terlewat dua bulan. Wawancara dimuat naik pada 26 November 2018, sumber asal ialah buku Jambak 4, 1995, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

      Sekiranya ada sebarang pertanyaan selepas ini, nak lebih pantas boleh mesej di media sosial 😄

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Media Sosial

Follow Bilik Penyair on WordPress.com
Bacaan lain
Wajah