Little poppies, little hell flames,
Do you do no harm?
You flicker. I cannot touch you.
I put my hands among the flames. Nothing burns
And it exhausts me to watch you
Flickering like that, wrinkly and clear red, like the skin of a mouth.
A mouth just bloodied.
Little bloody skirts!
There are fumes I cannot touch.
Where are your opiates, your nauseous capsules?
If I could bleed, or sleep!
If my mouth could marry a hurt like that!
Or your liquors seep to me, in this glass capsule,
Dulling and stilling.
But colorless. Colorless.
Sajak ‘Poppy in July’, oleh Sylvia Plath ini menggambarkan kekosongan jiwa (dalam konteks ini, selepas Ted Hughes main perempuan) yang dialami seseorang. Kita seolah dapat membayangkan Plath yang kecewa duduk di tepi tingkap sambil memandang ke luar, dan ada bunga popi yang sedang mekar merah menyala.
Tapi pada pandangan seorang yang sedang dalam trauma emosi, pemandangan indah itu tak memberikan perasaan apa-apa. Bahkan Sylvia Plath menganggap bunga itu sebagai ‘api neraka kecil’ yang sedang memperlinya. Dan seperti seorang wanita yang sedang mengalami krisis eksistensial, yang merasakan dirinya nihil perasaan.
Kata Plath, api neraka kecil bunga popi itu tak boleh disentuhnya, api itu tak membakarnya. Seolah-olah dia sudah tidak wujud lagi. Tapi dia sebenarnya ada, memandang ke arah bunga popi di luar, bergoyang ditiup angin seperti api yang melentik-lentik.
Salah satu tanda kemurungan (depression) ialah ‘anhedonia’. (Jadi kalau awak ada rasa jiwa kosong, silalah berjumpa dengan doktor, atau kalau awak pandai menulis, buatlah sajak macam Plath. Tapi jangan bunuh diri letak kepala dalam ketuhar.)
Sylvia Plath ialah penyajak wanita mazhab pengakuan (confessional poetry) paling berpengaruh dalam kalangan feminis di Amerika sehingga sekarang. Plath ialah simbol syahid wanita pada zaman 60-an yang mana diktum awam ialah;
12 Februari 1963, Plath mati bunuh diri di usia 30 tahun. Dia meletakkan kepalanya dalam ketuhar dan mati lemas dengan gas, itupun selepas memastikan dua orang anaknya selamat di bilik lain.
Selama 30 tahun lebih, Ted Hughes, suami Plath, seorang penyajak dan Poet Laureate (semacam Sasterawan Negara) United Kingdom, menjadi seperti watak Bluebeard dalam cerita dongeng Perancis: lelaki aristokrat kaya yang membunuh isterinya. Tapi Ted Hughes tak membunuh isterinya secara literal, Hughes main perempuan lain.
Selama 30 tahun juga Hughes menjadi seperti sebuah dinding yang diludah, diconteng dengan kata-kata kesat dan liar, dan seperti dinding Hughes tak membalas apa-apa. Sehinggalah sajak ‘Last Letter’ diterbitkan pada 1998 (sembilan bulan sebelum kematian Hughes).
Plath dan Hughes mula bercinta di Cambridge, dalam jurnal Plath, dia menuliskan dengan berahi yang membuak-buak dari dadanya pertemuan pertama dengan Hughes. Bagaimana waktu kucupan pertama mereka, Plath menggigit pipi Hughes sampai berdarah. Kemudian mereka berkahwin dan mendapat dua orang anak.
Hujung minggu Februari 1963; selepas beberapa lama Ted Hughes curang dengan seorang perempuan bernama Susan Alliston.
Hari Jumaat. Plath hantar telegram kepada Hughes, bahawa dia akan meninggalkan UK dan pulang ke Amerika dan tak mahu berjumpa Hughes lagi. Dalam jangkaan Plath, paling cepat telegram tersebut akan sampai kepada Hughes pada hari Sabtu. Tapi dengan takdir Tuhan, telegram itu sampai kepada Hughes pada petang Jumaat. Hughes kemudian bergegas ke rumah Plath di utara London dan mereka bertengkar, akhirnya Plath merampas telegram tersebut dari tangan Hughes dan membakarnya.
Hari Sabtu. Plath menelefon Hughes, tapi dihujung gagang suara yang membalas panggilan bukan Hughes, tapi Susan Alliston.
Hari Ahad. Malam. Ted Hughes dan Susan Alliston di atas katil di flat di Bloomsbury, berasmara dalam engahan pendek di atas katil yang sama dia dan Plath menghabiskan malam pertama perkahwinan mereka. Malam Ahad yang sama juga, Plath meletakkan kepalanya dalam ketuhar dan mati ketika Hughes sedang berahi.
Pagi Isnin. Seperti dalam rangkap akhir sajak ‘Last Letter’, Hughes menulis selepas dikejutkan panggilan telefon pagi Isnin;
Then a voice like a selected weapon
– Last Letter, Ted Hughes
Or a measured injection,
Coolly delivered its four words
Deep into my ear: “Your wife is dead.”
Plath ialah penyajak yang dilahirkan pada waktu yang salah, kata seorang kolumnis The Guardian. Dekad 60-an, untuk berjumpa seorang doktor psikiatri bukan semudah pergi kepada tukang gunting pada tahun 2015. Berjumpa doktor psikiatri tak ubah seperti mengatakan kau ialah penyokong Barisan Nasional di media sosial, berjumpa doktor psikiatri ialah bermakna, kau gila.
Plath mempunyai masalah kemurungan (mungkin manic-depressive) yang melampau sejak dari zaman remajanya di Amerika, dia pernah beberapa kali membuat cubaan bunuh diri. Apabila Hughes main perempuan itu ialah ‘last straw’ bagi Plath.
Tapi di sisi lain; Hughes, apa yang mendorong dia curang ialah hal yang tak selalu dibincangkan. Pernah terfikir kalau isteri kau manic-depressive? Hughes dicap lelaki yang kemaluannya mempunyai kaki yang sentiasa mencari perempuan lain. Tapi orang tak pernah ambil kisah trauma emosi keluarga Hughes sendiri (anak lelaki mereka Nicholas Hughes bunuh diri pada tahun 2009). Orang luar kadang-kadang (seolah-olah) lebih tahu hal dalam kain keluarganya (Plath & Hughes) berbanding Hughes sendiri.
Akhirnya kita ialah penonton yang makan kacang cap tangan di depan skrin yang suka bergosip tentang apa saja. Ted Hughes tak membunuh Plath. Manic-depressive yang membunuh Plath. Kalau Plath berusia 30 tahun pada 2015, mungkin Plath tak akan bunuh diri, sebab pemahaman kita tentang masalah psikatri telah banyak berubah. Mungkin Plath akan lebih banyak menulis buku, dan tak jadi ‘patron saint of sad teenage girls’, tapi jadi ikon pemerkasaan wanita macam Malala Yousafzai.
Depression is real.
Dan kau tak boleh, bak kata Alex Turner, “keep peppering the pills, you’ll find a way to spit it out again”. Prozac bukan macam paracetemol kepada pyrexia. Kemurungan itu sejenis penyakit dan engkau tak boleh suka-suka suruh orang gembira, dan marah bila mereka tak mampu.
Bacaan lain:
http://www.theguardian.com/commentisfree/2013/jan/22/syvia-plath-50-years-bitter-arguments
Faisal Mat Zawi (Dr.) ialah penyair kelahiran Kota Bharu, Kelantan. Beliau mempunyai dua buah buku puisi terbitan Kata-Pilar; Sajak Kepada Tuhan (2016) dan Malam Persembunyian (2017).