Puisi Cinta Tanpa Setitik Hiperbola di Dalamnya

aku cintakan kau macam mana kumbang-kumbang cintakan jendela, macam mana ikan paus cintakan sotong-sotong. tak ada kedalaman yang takkan aku ikut. aku cintakan kau macam mana bidak mencintai kuda bangsawan. akan aku hadap gajah atau ratu. mahupun benteng hidup. cinta aku memang gila. aku sukakan mulut lancang milik kau itu. aku nak cium dan bermain lidah, dengan ghairah, sambil masih memakai stokin. aku cintakan kau macam mana seekor burung hering cintakan rusa lalai yang terbangkai-lai ditepi jalanraya. aku nak masuk kau sepenuhnya. aku cintakan kau macam mana isis mencintai osiris, namun kesetiaan isis tak tercapai. akan aku latih nafas aku dan belajar untuk membaca gema-gema sampai aku dapat kumpul kesemua urat darah yang pernah kau hilang. sumpah, cinta ini keterlaluan, dengan tanpa sebarang penderitaan. seperti ikan salmon dan keinginan untuk terbang ke hulu sungai, aku elak serangan beruang untuk kau. seperti helang-helang dan pencakar langit, aku sentiasa pulang. mereng. sedikit putus asa. malu sebab mabuk cinta. dan itu pasal aku sekarang berada di atas sofa sedang mencium gambar-gambar kau dalam telefon daripada panggil saja kau dari dapur dimana kau sedang memasak makan malam yang terlalu pedas, tapi bila kau suakan sudu ke bibir aku dan tanya dah masak ke belum aku akan cakap dah, macam selalu, tapi tak pernah, tak sekalipun pernah ianya cukup.

Love Poem Without A Drop of Hyperbole In It
The New Yorker, January 8, 2018

terjemahan Jack Malik

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Media Sosial

Follow Bilik Penyair on WordPress.com
Bacaan lain
Under Your Pillow