Masihkah selamanya kita tinggal dalam sangkar tanda tanya sedang waktu sudah terlalu singkat untuk kita bercinta.
Iga (2005)
IGA (2005) berusaha menemukan makna ‘kesepian dan kesunyian’ manusia dalam hiruk-pikuk percaturan hidup. Ia mencuba menyelusur kembali ke akar – ingin mengecap nikmat daripada makna ‘kesepian dan kesunyian’, maka tidak seharusnya ia takut atau bimbang untuk kembali kepada ‘kesepian dan kesunyian’ itu sendiri kerana memang di situlah bermula akarnya.
Daripada ‘kesepian dan kesunyian’ itulah, Maha Pencipta mencipta penawar ‘sepi dan sunyi’ daripada tulang rusuk (iga) manusia pertama. Daripada iga, manusia menemui ‘keriuhan’ di dalam dan di luar dirinya. Keriuhan itu senantiasa berkembang dalam keanekaragaman warna hidup – dalam hubungan sesama manusia, hubungan dengan Penciptanya, hubungan dengan seluruh hidup dan kehidupannya, kerana ‘keriuhan’ itulah juga kadangkala ia lupa pada akarnya. Iga jauh sekali daripada kecenderungan untuk membicarakan soal moral yang muluk – yang kadangkala itu hanya mainan lidah, tetapi Iga ialah catatan dari dunia ‘sepi dan sunyi’ yang kadangkala lemas ditenggelami arus keriuhan.
diterbitkan oleh Dewan Bahasa & Pustaka
Cetakan Pertama 2005
Zaen Kasturi 2005