Membaca ‘Perfect Light’, Ted Hughes

Pada tahun 1962, Ted Hughes dan Sylvia Plath berpindah ke kawasan desa Inggeris di Devon. Mereka menetap di sebuah rumah yang dikelilingi pohon besar yang tua, padang rumput dan bunga-bunga daffodil yang sangat banyak. Tahun itu Sylvia baru sahaja melahirkan Nicholas. Bunga-bunga daffodil itu mekar pada bulan April, dan mereka mengambil kesempatan itu untuk berfoto.

Beberapa bulan sebelumnya, ketika baru sahaja berpindah, mereka mahu menjemput beberapa rakan untuk meraikan rumah baru. Antara yang dijemput ialah David dan Assia Wevill, pasangan yang menyewa flat mereka di London. 

Itulah titik permulaan, hubungan sulit Ted Hughes dan Assia Wevill. Dalam biografi Assia, diceritakan sewaktu mereka berkunjung ke Devon, Assia dan Ted  berada di dapur, manakala David dan Plath di luar rumah. Plath tiba-tiba meluru ke dalam dapur dan mendapati mereka sedang bercium. Hubungan suami isteri Ted-Plath, Assia-David berubah dari titik itu. (Akhirnya kita tahu, Februari 1963, Sylvia Plath bunuh diri.)

Tapi dalam sajak ini, Hughes mahu kita melupakan sebentar apa yang berlaku pada Februari 1963. Hughes membentangkan kepada kita sebuah foto dan sajak tentang April 1962. Tiga figura suci dalam pakaian putih, triniti. Foto yang merakam satu detik dalam bulan April hidup Plath, April terakhir. Tak ada yang menyangka kejadian yang akan menimpa mereka semua sepanjang tahun itu nanti, ketika foto ini diketik. Kenangan Plath dan anak-anaknya, Frieda dan Nicholas pada masa depan yang tak pernah terjadi.

Masa sentiasa mengintai kita, dengan rahsianya yang kita tak pernah tahu. Seperti bukit besar yang diduduki Plath, ia ada di situ tapi tiada dalam foto. Dan seperti bukit kubu berparit, kita mempersiapkan diri kita untuk masa hadapan, tapi dalam kes Plath, masa hadapan yang datang seperti askar infantri, tak pernah sampai kepadanya.

Seperti bunga-bunga daffodil
berkembang mekar
itu adalah April terakhirmu
dalam pangkuan, seperti patung beruang kecil
anak lelaki mu yang baru beberapa minggu 
Seorang ibu dan bayi kecil, sebuah potret suci.
Di sebelah mu, sedang ketawa 
anak perempuan mu
usia baru menginjak angka dua
seperti bunga daffodil
kau memandang wajahnya
mengucapkan sesuatu
tapi kamera tak merakam kata-katamu

                                                Dan tentang berita
di dalam bukit yang kau duduki
sebuah bukit kubu berparit, besar
lebih besar dari rumahmu
tidak ada dalam foto.
Manakala kenangan masa depan
datang ke arah mu seperti serdadu
berjalan pulang dari medan perang
tunduk di bawah sesuatu, ia tak pernah sampai kepadamu
ke dalam cahaya ia mengabur.

Nota: Puisi termuat ialah ‘Perfect Light’ oleh Ted Hughes; terjemahan Faisal Mat Zawi.

Faisal Mat Zawi (Dr.)  ialah penyair kelahiran Kota Bharu, Kelantan. Beliau mempunyai dua buah kumpulan puisi terbitan Kata-Pilar; Sajak Kepada Tuhan (2016) dan Malam Persembunyian (2017).

Media Sosial

Follow Bilik Penyair on WordPress.com
Bacaan lain
Khuldi Adam