Di
mana agaknya, mungkin di Strand?
surat khabar yang di pamerkan atas rak, foto-foto.
Entah kenapa aku terperasan satu gambar
pelajar-pelajar biasiswa Fulbright
ambilan baru tahun itu. Baru sahaja tiba-
atau mungkin dah lama tiba.
Atau mungkin tak semua ada dalam gambar itu.
Kau ada bersama mereka? Aku lihat semula
tapi tak terlalu teliti, sambil berfikir
siapa antara mereka yang mungkin aku jumpa.
Aku ingat ada fikir tentang itu. Tidak wajah kau.
Aku memang perhatikan satu-satu wajah pelajar perempuan
tak syak lagi. Mungkin aku ternampak kau.
Mungkin pandangan aku terhenti pada wajah kau,
sambil berkira-kira, tak mungkin.
Aku perasan rambut kau
yang panjang dan lurus, sedikit beralun
gaya Veronica Lake. Tapi tak perasan
apa yang tersembunyi di balik rambut itu.
Warna perang muda. Dan senyuman kau
Senyum keterlaluan yang sangat Amerika
untuk kamera, hakim, orang asing,
kadangkala menakutkan.
Kemudian aku lupa. Tapi aku ingat
tentang gambar itu: pelajar biasiswa Fulbright
dengan bagasi mereka? Oh mungkin tak.
Mereka datang semua sekali dalam rombongan?
Aku berjalan, dengan kaki yang lenguh dan sakit
di bawah matahari terik, di atas aspal panas.
Aku ada beli buah pic, rasanya. Aku ingat tentang itu.
Dari sebuah kedai dekat Stesen Charing Cross.
Ia pic pertama yang aku makan.
Aku hampir tak percaya betapa sedapnya buah pic.
Waktu itu usia aku 25 tahun, dan aku terpegun
dengan kejahilan aku sendiri
tentang keseronokan perkara-perkara kecil begini.
“Fulbright Scholars”
Birthday Letters, 1998
terj. Faisal Mat Zawi