Sajak buat Pencuri Kasutku

suatu malam – ketika aku ingin pulang ke kamar asingku
di pinggir kota, kulihat kasut biruku di tangga masjid
sudah hilang. aku tidak tahu siapa yang mencurinya
kerana aku bukan seorang tuk nujum yang bisa mengenal
wajah sang pencuri itu, juga tidak ada sebarang isyarat
yang dapat ditangkap oleh mata lahirku untuk mengesan
siapakah gerangannya. tidak mengapa, kasut yang kubeli
sebelum hari raya itu, sudah bisa menghafal segenap
langkahku di lorong-lorong kota Kuala Lumpur. ia telah
banyak menyimpan rahsia telapak kakiku yang ada bekas
luka ketika main perang di pinggir sungai, zaman kanak
dahulu. aku tidak sedih kehilangan kasut biru itu. Cuma
aku harap kasutku itu tidak menjadi pelapik lastik
untuk melastik kawanan gagak yang terbang di antara
gedung-gedung pencakar langit. aku tidak mahu kasut itu
bertukar menjadi merah, semerah warna darah

(minta-mintalah kasutku itu tetap berwarna biru
meski telah bertukar kaki!)

Katarsis, 1993
Dewan Bahasa & Pustaka

Media Sosial

Follow Bilik Penyair on WordPress.com