Setebos

Siapa boleh jadi Miranda?
Cuma engkau. Ferdinand- cuma aku.
Memang begitu sejak dulu.
Aku tak pernah menyoal. Ibumu
jadi Prospero, melayangkan sihirnya
mementaskan Masque, dan memberkati perkahwinan,
mencuri dengar bisikan-bisikan
kekasih sedang bulan madu di Paris
kemudian senyum sendiri di tangga
pada pantulan mukanya di dinding gelap.
Bangkai kapalku tiba-tiba berubah
jadi almari baru, baju-baju belum disarung,
bahkan emas di gigiku. Ariel
menghiburkan kita malam dan siang.
Suara dan bunyian dan udara manis
ialah aura kita. Ariel ialah aura kita.
Kita saling bertukar ganti
Caliban ialah rahsia, menunjukkan kita
yang paling manis, paling segar, paling liar
dan mencintai kita sepertimana
kita mencintai sesama sendiri. Sycorax,
kulit-kulit epal dari kebun kita,
timbul tenggelam atas ombak di ufuk yang berkabus
di tengah lautan dengan sayap dari kayangan
seperti tuan direktur, mencermati babak yang akan tiba.
Kita disentak kembali pada skrip. Caliban
kali ini mengetuk di mesin taip.
Aku mendengar pekikan dalam suaramu
yang menegakkan bulu leherku bila kau menyanyi
bagaimana engkau dibebaskan dari Elm. Aku berbaring
dalam labirin bunga-bunga loceng kuning, keliru.
Aku mendengar Minotaur
sedang menuruni labirin
berjalan di atas kukunya
dalam terowong panjang dan dalam, gelap. Raja Minos,
atau Otto- pekikannya berpilin-pilin
jadi lagu pembunuhan. Kita sekarang dalam teater mana?
Terlambat, untuk mencari dan membawa engkau
ke kapal. Bulan terlepas dari tambatan
tercampak ke dalam taufan. Nyanyian engkau
jadi suara pekikan dalam lembu tembaga
di panggang api. Sycorax, ketawanya
menjadi guruh dan kilat menyambar
dan hujan hitam. Dia melempar kepala
Prospero kepada aku,
sebatang kilat api, berdentum.
Bulan meraung
dilambung, dihunjam. Aku mendengar kau menangis
dari denguhan lembu tembaga sedang dipanggang:
“Siapa yang menceraikan tubuh kita?”
aku merangkak, di bawah kain gaberdin
memeluk erat diriku sendiri
kini aku mendengar lolongan.

“Setebos”
Birthday Letters, 1998

terj. Faisal Mat Zawi

Media Sosial

Follow Bilik Penyair on WordPress.com
Bacaan lain
Secebis Kulit